Friday, May 1, 2015

#PRKRompin : 'Tsunami Melayu' Hanya Mainan Perang Saraf

pilihanraya kini     2:00 AM    




PULAU TIOMAN 30 April - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin tidak akan berlaku tsunami undi Melayu terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin pada 5 Mei ini.

Penyelaras jentera pilihan raya BN bagi PRK Parlimen Rompin itu menyifatkan andaian itu hanya sekadar 'perang saraf' yang dilakukan pihak pembangkang untuk melemahkan jentera BN selain mahu meraih sokongan pengundi.

"Ini hanya perang saraf yang dicetuskan pihak tertentu untuk memberi gambaran negatif terhadap BN, namun ia tidak sedikit pun mengganggu gugat jentera kita.

"Kita lihat nanti pada hari pengundian kerana ia menjadi penentu sekaligus menjawab segala persoalan itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Kampung Tekek di sini, Khamis.

Pusat internet kelapan dibangunkan di daerah Rompin itu dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. 

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan bagaimanapun mengingatkan jentera BN agar tidak mengambil mudah PRK ini walaupun parti itu pada pilihan raya umum lepas memperoleh jumlah majoriti undi yang tinggi.

Beliau menegaskan, terdapat pihak yang akan sentiasa cuba menggugat kestabilan, keharmonian dan pembangunan yang telah diusahakan kerajaan sedia ada demi mencapai matlamat peribadi.

"Oleh itu, saya sudah mengarahkan setiap jentera supaya lebih menumpukan Pusat Daerah Mengundi malah saya sendiri turut berbuat demikian kerana tempoh berkempen hanya berbaki empat hari saja lagi. Kita perlu memastikan pengundi turun mengundi pada 5 Mei nanti," katanya.

Hishammuddin berkata rakyat yang majoritinya inginkan keamanan dan kesejahteraan hidup juga perlu memainkan peranan dengan keluar mengundi dan memilih parti yang diyakini mampu membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju dan berjaya.

Sumber : RakyatNews


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.