Sunday, May 3, 2015

#PrkRompin : Wau Gergasi Hiasi PRK Rompin

pilihanraya kini     3:07 AM    



ROMPIN: Bagi memeriahkan suasana Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin yang dianggap suram, sekumpulan ahli Umno di Kampung Pontian, Parit Raja di sini membina replika gergasi berbentuk wau menggunakan bendera Barisan Nasional (BN).

Replika gergasi tersebut itu dibina secara gotong-royong selama tiga hari menggunakan buluh, dawai, tali dan lebih 50 helai kain bendera BN.

Replika tersebut merupakan cetusan idea Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain bersama penduduk kampung tersebut untuk menaikkan 'mood' PRK Rompin.

Beliau berkata, replika berbentuk wau itu dipilih kerana kebanyakan penduduk di kampung tersebut berasal dari Terengganu dan Kelantan.


"Wau amat sinonim dengan mereka dan ia juga tanda semangat perpaduan semua parti dalam BN.

"Kita bina replika tersebut selepas dapat maklum balas daripada orang di luar Rompin bahawa PRK di sini tidak meriah seperti di Permatang Pauh," katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, di sini.


Walaupun hanya satu replika kelihatan sepanjang kempen di Rompin, Mohd Johari berkata, poster dan bendera parti itu turut dipasang di beberapa kawasan strategik.

"Biasalah, mood PRK berbeza dengan Pilihan Raya Umum. Jadi saya rasa replika ini sudah memadai kerana bendera dan poster calon juga turut dipasang," katanya.

Pada PRU-13 dua tahun lalu, Mohd Johari berkata beliau bersama sekumpulan pemuda Umno DUN Tioman turut membina tiga replika gergasi bagi menyemarakkan semangat juang parti pada ketika itu.

"Ada orang kata tiada perang poster di sini, tapi saya ingin jelaskan di sini bahawa ahli-ahli kedua-dua parti tidak agresif dan sering bertolak-ansur antara satu sama lain," katanya.


Sumber : mStar


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.