Sunday, May 3, 2015

#PRKRompin:BN Diramal Menang Majoriti 10,000

pilihanraya kini     3:45 AM    




ROMPIN: Hanya tinggal kurang tiga hari sebelum 52,744 pengundi kerusi Parlimen Rompin akan melaksanakan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat mereka.

Mereka perlu membuat keputusan bijak, agar wakil rakyat yang dipilih dapat melaksanakan tugas dengan berkesan dan penuh tanggungjawab bagi menyambung legasi Ahli Parlimen sebelum ini, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis atau lebih mesra dengan panggilan JJ.

Dua calon bertanding iaitu dari Barisan Nasional (BN), Datuk Hasan Arifin yang diketahui mempunyai rekod cemerlang dalam pentadbiran serta calon PAS, Nazri Ahmad.

Mengikut jangkaan, Hasan akan memenangi PRK ini dengan mendapat majoriti 10,000 undi. Meskipun majoriti undi berkenaan tidak sebanyak yang dimenangi JJ pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 lalu iaitu 15,114 undi namun keadaan ini berlaku disebabkan oleh satu faktor iaitu penurunan jumlah yang keluar mengundi.

Dianggarkan peratusan yang keluar mengundi pada 5 Mei ini adalah antara 70 ke 75 peratus sahaja berbanding lebih 90 peratus yang mengundi pada PRU ke-13 lalu.

Seperti diketahui, Parlimen Rompin merupakan kubu kuat BN dengan rekod menunjukkan pada 1995, BN menang dengan majoriti 12,825 undi, 1999, (6,028 undi), 2008 (9,350 undi) dan 2013 dengan majoriti 15,114 undi.

Meskipun majoriti undi dijangka berkurang namun ia tetap dianggap sebagai kejayaan besar untuk BN yang kini berdepan dengan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta serangan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap kerajaan.

Hasan, seperti yang diketahui oleh penduduk merupakan seorang calon yang mudah didekati malah ketika tidak lagi menjawat jawatan dalam pentadbiran kerajaan, beliau tetap meluangkan masa melawat penduduk setempat dan bertanyakan khabar mengenai mereka.

Beliau juga tidak lokek untuk menghulurkan bantuan apabila diperlukan terutama masalah yang melibatkan aspek kewangan.

Sebagai bekas Timbalan Menteri Besar Pahang, Hasan, 62, dan mempunyai kelulusan sarjana muda ekonomi daripada Universiti Malaya (UM) itu mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran.

Anak tempatan kelahiran Kampung Ayau, Leban Chondon ini bukan calang-calang orang dalam politik di Pahang. Beliau dikenang kerana menjadi orang yang telah membangunkan kawasan perindustrian Gebeng, iaitu antara nadi kegiatan ekonomi Pahang ketika ini.

Selain itu, beliau juga pernah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam serta anggota Exco kerajaan negeri.

Berbanding dengan calon PAS, Nazri, beliau tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pentadbiran, justeru agak sukar baginya jika dipilih sebagai wakil rakyat Rompin.

Nazri juga pastinya akan berdepan kesukaran untuk menjalankan tugasnya kerana tiga ADUN di bawah Parlimen Rompin adalah dari BN iaitu ADUN Bukit Ibam, Wan Kadri Wan Mahusain, ADUN Tioman, Mohd Johari Hussain dan ADUN Muadzam Shah (Datuk Seri Maznah Mazlan)

PRK Parlimen pada 5 Mei ini diadakan selepas penyandangnya, Tan Sri Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter pada 4 April lalu.


Sumber : http://www.tv14.my/2015/05/02/prk-rompin-jumlah-keluar-mengundi-dijangka-menurun-bn-diramal-menang-majoriti-10000/


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.