Tuesday, June 9, 2015

#GempaSabah: Ramai Beri Penghormatan

pilihanraya kini     8:43 AM    


Ramai pihak memberi penghormatan terhadap mangsa-mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi sekuat 5.9 pada skala Richter yang melanda Sabah Jumaat lalu.

Persidangan Dewan Rakyat yang memulakan mesyuarat semalam menzahirkan rasa sedih dan simpati tidak terhingga kepada keluarga dan mangsa, yang terlibat dalam tragedi yang mengorbankan 16 orang dan dua lagi masih hilang di Gunung Kinabalu semasa tragedi itu berlaku.

Singapura mengibarkan benderanya separuh tiang di semua bangunan kerajaan sebagai hari Peringatan Negara bagi lapan rakyatnya yang terkorban dan dua yang masih hilang itu.

Pada masa sama di republik itu, semua venue Sukan Sea mengadakan tafakur selama satu minit sebelum memulakan pertandingan bagi memperingati mereka yang terkorban.

Manakala operasi mencari dua rakyat Singapura itu terpaksa ditangguhkan sehingga hari ini di Gunung Kinabalu ekoran keadaan berkabus.

Sementara itu, pesakit terakhir daripada 18 rakyat Singapura, iaitu pelajar lelaki Sekolah Rendah Tanjong Katong, telah dibenarkan keluar hari ini setelah menerima rawatan di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu akibat kecederaan kepala, dada dan otot.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengesahkan mayat tiga lagi mangsa gempa bumi telah dituntut anggota keluarga masing-masing.

Tiga mayat itu dikenal pasti sebagai Loqman Abdul Karim dari Melaka, Lim Choon Seong dari Pulau Pinang dan Joseph Solungin dari Ranau.

Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah pula mengumumkan penutupan sementara beberapa program atau aktiviti awam di Ranau berkuat kuasa  serta-merta sehingga diberitahu kelak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan melalui blog beliau, NajibRazak.com, bahawa beliau akan meninjau kawasan kejadian gempa bumi hari  ini.‎

Susulan tragedi itu, Tabung Kemanusiaan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (TKKMM) dilancarkan semula untuk membantu mereka yang terjejas dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menderma RM100,000 kepada Persatuan Malim Gunung Kinabalu. - Bernama

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.