Thursday, June 11, 2015

Hubungan PAS-DAP Akan Ditentukan Majlis Syura - Tuan Ibrahim Tuan Man

pilihanraya kini     11:20 AM    


Mesyuarat  Jawatankuasa PAS Pusat penggal 2015-2017, yang diadakan buat kali pertama selepas berakhirnya Muktamar PAS ke-61 pada Rabu tidak dapat memutuskan secara rasmi tentang hubungan PAS dengan DAP.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perkara itu akan diserahkan kepada Majlis Syura Ulama untuk dibincangkan dan setakat ini PAS masih lagi berkerjasama dengan DAP.
“Kita tak bincang perkara itu dalam mesyuarat malam ini.
“Itu hanya usul dewan (muktamar) sahaja dan ia akan diserah kepada Majlis Syura untuk dibincangkan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat di Ibu Pejabat PAS Pusat di sini.
Hadir sama Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad serta Ketua Pemuda PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Mesyuarat bermula pada pukul 8.30 malam dan berakhir kira-kira pukul 10 malam. Bagaimanapun Abdul Hadi dilihat meninggalkan mesyuarat lebih awal, kira-kira setengah jam selepas mesyuarat bermula diikuti beberapa pimpinan lain.
Menurut Tuan Ibrahim, mesyuarat kali pertama ini hanya membincangkan tentang pelantikan jawatankuasa kerana beberapa ahli akan ditambah.
Katanya sebanyak enam kuota disediakan dan ahli-ahli yang bakal dilantik terdiri daripada beberapa calon yang kalah dan nama-nama lain yang dicadangkan.
“Dari segi peruntukan ada enam tambahan dan kita akan umum kemudian.
“Biasa memang begitu setiap kali muktamar yang tak menang pun kita ada beri jawatan…kita akan cadangkanlah (nama),” katanya.
Beliau menambah, pengisytiharan rasmi senarai jawatankuasa akan diumumkan oleh Abdul Hadi pada 21 Jun.
Dalam pada itu beliau turut mengulas mengenai pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang disifatkannya oleh Pengerusi DAP Selangor Tony Pua sebagai sesuatu yang ‘pelik’.
Katanya, pentadbiran di Selangor masih berjalan seperti biasa dan PAS masih lagi merupakan sebagaian daripada Pakatan.
“Apa yang pelik? Kerajaan masih kerajaan Pakatan rakyat.
“Kalau tak nak kerja tak apa tapi kerajaan, kerajaan bersama,” jawabnya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.