Wednesday, June 10, 2015

Kerajaan Beri Penganugerahan Terhadap Pengorbanan Malim Gunung #GempaSabah

pilihanraya kini     9:09 AM    



Kerajaan akan memberi penganugerahan kepada malim gunung yang telah menunjukkan keberanian dan pengorbanan luar biasa ketika menyelamatkan mangsa gempa bumi di Ranau Jumaat lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 


Najib berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman tentang perkara itu dan kerajaan negeri akan mengesyorkan nama-nama penerima. 

"Kami akan buat penelitian untuk memberi sesuatu penganugerahan yang sesuai kepada malim gunung yang telah menunjukKan keberanian dan pengorbanan yang teristimewa. 

"Bila kita sebut 'berkorban apa sahaja', itulah peranan yang telah dilakukan oleh malim gunung semasa operasi mencari dan menyelamat mangsa walaupun kemungkinan nyawa mereka tergadai," katanya. 

Najib berucap pada majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa dan waris mangsa gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu yang mengorbankan rakyat tempatan dan warga asing, pada Selasa. 

Najib turut menyaksikan penyerahan bantuan RM1 juta oleh kerajaan Sarawak kepada kerajaan Sabah untuk tabung bencana gempa bumi, yang disampaikan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman. 

Sementara itu, Ronny Masirin, 35, abang kepada mendiang Ricky Masirin, 28, malim gunung berasal dari Kampung Kauluan yang terkorban dalam gempa bumi itu, berkata keluarganya sangat berterima kasih atas sumbangan yang diberikan kerajaan. 

"Ini merupakan tanda keprihatinan kerajaan pusat kepada semua mangsa yang terlibat. Walaupun sumbangan ini tidak dapat memadam rasa kesedihan kami, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban kami sekeluarga," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan itu. 

Sementara itu, Victorius Benjamin, 41, abang saudara kepada malim gunung Valerian Joannes, 27, yang turut terkorban dalam kejadian itu, berkata sumbangan itu sedikit sebanyak dapat membantu keluarga mendiang. 

Beliau menyifatkan semua sumbangan dan penganugerahan kepada malim gunung termasuk empat yang terkorban sebagai penghargaan besar daripada pihak kerajaan. 

Setakat ini, 16 orang disahkan terkorban dalam gempa bumi yang berlaku pada 7.15 pagi itu.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.