Friday, June 12, 2015

MKN nafi dakwaan pendaki Australia #GempaSabah

pilihanraya kini     9:08 AM    


Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam menafikan andaian dan tuduhan terhadap pasukan penyelamat oleh pendaki warga Australia Vee Jin Dumlao yang terselamat dalam bencana gempa bumi di Gunung Kinabalu.

Dalam temu bual oleh ABC News, beliau mengingati semula pengalaman yang menyeksakan itu selepas terperangkap di Gunung Kinabalu dan menjadi viral di media sosial.

Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, kenyataan yang dibuat Dumlao mungkin kerana dia trauma selepas terperangkap dalam bencana itu dan tidak mengetahui apa yang berlaku.

"Perasaan trauma yang dilalui Dumlao mungkin telah mempengaruhi beliau, mengenai usaha sebenar yang dijalankan bagi menyelamatkan mangsa.

"Beliau mengingati semula pengalaman yang menyeksakan jiwanya ketika terperangkap di Gunung Kinabalu, malim gunung yang membawa kumpulannya ke tempat selamat dan mengkritik pasukan penyelamat yang dikatakan lambat bertindak," katanya dalam kenyataan.‎

Mohamed Thajudeen berkata, Dumlao dalam artikel itu berkata langit cerah dan membolehkan helikopter untuk mendarat dan menyelamatkan mereka tetapi beliau kecewa apabila helikopter tidak datang membantu.

Dumlao bertambah kecewa apabila dimaklumkan beliau dan kumpulannya hanya boleh diselamatkan keesokan harinya.

"Dia berada di puncak gunung. Bagaimanapun, di bawah puncak itu langit tidak cerah, ia diliputi awan yang tebal iaitu menghalang pandangan.

"Helikopter dihantar seperti yang dijanjikan, yang pertama pada 12.02 tengah hari tetapi helikopter tidak dapat menembusi awan. Dua kali juruterbang mencuba dan kedua-duanya gagal dilakukan," katanya.

Tetapi sebaik helikopter itu berjaya menembusi awan pada sebelah petang, namun juruterbang gagal pula untuk mendarat.

Walaupun helikopter itu berlegar beberapa kali tetapi disebabkan keadaan tanah dan cuaca, ia tidak dapat mendarat dengan selamat dan boleh membahayakan semua orang yang berada di atas gunung, kata Mohamed Thajudeen.

"Penyelamat dihantar dalam tiga peringkat bermula 9.30 pagi, 1.35 tengah hari dan 3.30 petang.

"Pasukan pertama tiba di KM6.5, mereka bertemu satu kumpulan yang pendakinya tercedera dan membawa kumpulan itu ke kem Laban Rata. Bila dua lagi kumpulan tiba di Laban Rata, mereka dinasihatkan oleh malim gunung agar tidak meneruskan pendakian.

Batu yang berjatuhan dan perubahan landskap gunung itu menyebabkan gunung itu berbahaya untuk dinavigasi dalam keadaan gelap.

"Saya tidak mengetepikan pandangannya dan saya tidak mempertikaikannya. Bagaimanapun, daripada laporan hospital yang kami terima berhubung bedah siasat mangsa, mereka mati serta-merta. Sekali lagi andaian Dumlao tidak benar," katanya.

Mohamed Thajudeen berkata, bagaimanapun bagi mangsa lain yang terselamat, Rahimi Hadzri, yang diselamatkan pasukan penyelamat awam telah memuji kecekapan pasukan itu dan mengakui mereka telah melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan mangsa yang terkandas di atas gunung tersebut.

"Walaupun Dumlao dan Rahimi mempunyai pandangan berbeza tentang apa yang berlaku, tidak bermakna hanya seorang yang betul. Fakta yang dipertikaikan itu sebenarnya pasukan penyelamat dan malim gunung telah bekerjasama untuk menyelamatkan semua pendaki yang terkandas.

"Cerita daripada kedua-dua pihak membuktikan bahawa penyelamat, sama ada mereka daripada kerajaan atau badan bukan kerajaan telah membuktikan mereka adalah berpengalaman, bertanggungjawab dan komited dalam menjalankan tugas mereka," katanya. - Bernama

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.