Wednesday, June 3, 2015

Tubuh RCI Siasat Perbelanjaan Tak Masuk Akal Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang

pilihanraya kini     11:59 AM    


Misteri Disebalik Tender Terbuka?

Memetik tulisan Ong Eu Soon dalam The Ant Daily bertarikh 25 Ogos 2014 yang mendedahkan bahawa tidak wujud tender terbuka dalam pemberian projek terowong dasar laut ini sebaliknya ia adalah apa yang dikenali sebagai Request for Proposal (RFP) sahaja.
Menurutnya, China Railway Construction Ltd (CRCL) bersama IJM Corporation Bhd membida tender terbuka itu tetapi hanya mencadangkan pembinaan jalan raya sepanjang 4.2 km antara Gurney Drive dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Sementara itu, VST Cemerlang bersama-sama dengan China State Corporation turut mengemukakan cadangan empat projek pembinaan dan diikuti oleh kontraktor pembinaan iaitu WCT Berhad bersama syarikat gergasi pembinaan Korea, Daewoo Engineering and Construction membida projek jalan raya berkembar Teluk Bahang dan Tanjung Bungah dan projek pintasan pantai Gurney Drive.

Kerajaan negeri Pulau Pinang telah meminta Consortium Zenith BUCG yang merupakan syarikat khas (SPV) untuk menjadi kontraktor utama projek ini dan bergabung dengan syarikat-syarikat kontraktor lain.

Maka, ini sudah terang lagi bersuluh bahawa keseluruhan proses ini bukanlah proses tender terbuka sebaliknya RFP kerana kesemua pembida ini tidak bertanding atas terma dan syarat yang sama.

Malah menurut Ong Eu Soon lagi dalam kenyataannya yang dipetik daripada The Malaysian Insider bertarikh 6 Oktober 2013 yang mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri dalam menganugerahkan projek ini kepada Consortium Zenith BUCG yang menurutnya hanya didaftarkan pada Julai 2012 sedangkan tarikh tutup untuk mengemukakan kertas cadangan untuk projek jalan dan terowong ini ialah pada Jun 2012.
Bagaimana mungkin Consortium Zenith BUCG ini boleh dianugerahkan tender tersebut apabila ketika itu (Jun 2012) syarikat berkenaan tidak berdaftar lagi dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia?

Sekiranya projek terowong ini telah dianugerahkan kepada Consortium Zenith BUCG melalui tender terbuka maka adalah menjadi tanggungjawab moral kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mendedahkan nama syarikat-syarikat yang telah membida tender tersebut, jumlah pembida dan harga tawaran yang kalah dalam pembidaan projek ini.

Garis panduan “Open Tender” oleh Bank Dunia juga menyeru supaya semua tawaran perlu dibuka untuk penelitian orang awam tetapi memandangkan keseluruhan isu pemberian tender ini dirahsiakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan orang awam terutamanya rakyat Pulau Pinang tidak mengetahui siapa pembidanya serta tawarannya maka ini secara langsung menjurus kepada apa yang dipanggil sebagai ‘managed tender’.

– PRU14.tv

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.