Perdana Menteri berkata, buat masa ini, rakyat tidak sepatutnya mene­rima tuduhan yang dilemparkan oleh pihak tertentu terhadap beliau melalui media sosial secara bulat-bulat.
Menurut beliau, tidak semua yang disebarkan itu perkara yang benar malah banyak tuduhan boleh dianggap sebagai ‘karut-marut’.
“Kita akan memastikan kebenaran akan muncul juga pada akhir­nya. Kalau kata duit 1MDB berbilion sudah lesap, dengarlah laporan Ketua Audit Negara dahulu sama ada betul atau tidak.
“Saya tak nak buat pengumuman, biar dia (Ketua Audit Negara) yang bentangkan,” katanya ketika berucap merasmikan program Nur Ramadan 2015 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Shafie Abdullah.
Pada majlis berkenaan, Perdana Menteri menyampaikan sumbangan kepada seramai 2,000 orang yang terdiri daripada anak yatim, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya serta golongan kurang berkemampuan.
Setiap penerima diberi wang tunai RM150 sumbangan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta barangan keperluan asas seperti beras dan gula dari Yayasan Al-Bukhary, kain sumbangan Jakel manakala kain batik dan kain pelikat disumbangkan oleh Yayasan Kesejahteraan Bandar.
Najib turut berbuka puasa bersama kira-kira 5,000 penduduk sebelum mengerjakan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah di Masjid Salahuddin al-Ayyubi.
Sementara itu, beliau mengumumkan pelaksanaan projek pembinaan 11 tempat letak kereta bertingkat dengan kos RM290 juta di kawasan projek perumahan rakyat (PPR) sekitar ibu negara.
Perdana Menteri menambah, beliau juga akan melancarkan dua rumah untuk golongan gelandangan di Medan Tuanku dan Jalan Pekeli­ling dalam masa terdekat.
“Projek ini merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebuah syarikat swasta dengan nilai RM17 juta dan dijadualkan siap tidak lama lagi,” jelasnya.
Najib turut menyatakan persetujuan kerajaan supaya unit-unit kediaman Rumah Pangsa Sri Tioman 1 di Taman Melati dijual kepada penyewa sedia ada.
-tv14