Tuesday, July 28, 2015

#KLIA2 : "Saya Kecewa Dengan MAHB! " - Tony Fernandes

pilihanraya kini     8:43 AM    



Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes melahirkan rasa kecewanya dengan sikap pengendali lapangan terbang, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) berhubung keadaan KLIA2 yang menyedihkan.

Beliau berkata, MAHB perlu bertanggungjawab terhadap lapangan terbang baharu itu susulan isu rekahan dan mendapan berbentuk kolam yang berlarutan telah menenggelamkan laluan pesawat AirAsia, baru-baru ini.

"Kami benar-benar kecewa, kerana masalah ini, kami tak boleh berpindah masuk (kerana) apa yang berlaku sekarang lopak merata tempat, berlaku rekahan dan kita tak boleh terus (operasi).

"MAHB perlu ambil tanggungjawab ini, dia tak boleh menafikan perkara ini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Laporan Tahunan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Sektor Pelajaran 2014, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan CEO AirAsia Malaysia, Aireen Omar kepada Bloomberg, hari ini bahawa KLIA2 didapati tenggelam kerana terdapat rekahan dan lopak air membentuk kolam di laluan pesawat tambang murah itu.

Aireen berkata, kerosakan tersebut boleh menyebabkan kelewatan penerbangan dan mengundang risiko keselamatan.

Dalam pada itu, Tony memberi amaran kepada MAHB supaya berhenti memberikan pelbagai alasan dan mereka harus memperbaiki kerosakan itu dengan segera.

"Kami tak boleh berterusan dengan keadaan sebegini di negara seperti ini, kerana AirAsia sudah banyak menyumbang kepada negara ini, kami perlu dilayan dengan sebaik mungkin," ujarnya.

Beliau berkata lagi, sepanjang 15 tahun pengalamannya mengendalikan syarikat penerbangan itu, beliau tidak pernah berdepan dengan insiden sama di ratusan lapangan terbang seluruh dunia yang disinggah pesawat AirAsia.

"Kami tak pernah mengalami insiden ini seperti yang kita alami baru-baru ini. Hari tersebut adalah hari raya, di mana penerbangan kami tertangguh sehingga lapan jam," katanya lagi.

Sumber : Sinar Harian


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.