Monday, July 27, 2015

PAS Sedia Angkat Kaki

pilihanraya kini     9:15 AM    



PETALING JAYA: Pas bersedia meninggalkan PKR sekiranya sekutunya itu menyertai pakatan pembangkang baharu bersama DAP dan Gerakan Harapan Baru (GHB), kata Datuk Dr. Haron Din.

Mursyidul Am Pas itu berkata, pendirian PKR tentang penubuhan pakatan pembangkang baharu seperti yang diumumkan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggambarkan seolah-olah parti itu ingin memutuskan hubungan dengan Pas.

Jelasnya, sekiranya penubuhan pakatan pembangkang baharu itu menjadi kenyataan, Pas tidak akan membantah tindakan tersebut.

“Dengan keputusan itu maka akan terputuslah hubungan antara kedua-dua parti dan masing-masing bakal meneroka jalan sendiri selepas terbubarnya pakatan pembangkang.

“Kalau mereka hendak me­nu­buhkan parti baharu, saya ucapkan selamat maju jaya,” katanya seperti yang dilaporkan Mingguan Malaysia pada Ahad.


Anwar dalam satu kenyataan baru-baru ini membayangkan tentang penubuhan pakatan baharu yang merangkumi semua kumpulan progresif termasuk Bersih, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan GHB.

Mengulas lanjut, Haron menambah, pakatan pembangkang sebenarnya mulai retak sebaik sahaja DAP memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan langkah serupa diikuti oleh DAP Sarawak.

“Penting untuk saya sebut perkara ini kerana akhir-akhir ini orang kata Pas yang menjadi punca terburainya pakatan pembangkang,” jelasnya.


Beliau juga yakin Pas akan tetap berdiri teguh di atas landasan perjuangan menegakkan Islam walaupun kumpulan serpihannya akan menubuhkan parti baharu melalui wadah GHB.

Katanya, situasi seru­pa pernah dialami Pas apabila kumpulan-kumpulan serpihannya me­ning­galkan parti untuk me­­nubuhkan Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim).

“Semoga GHB tidak tinggal harapan sahaja dan masa akan menentukan. Jika umur kita panjang, kita akan melihat apa yang berlaku seterusnya,” ujarnya.

Sumber : FMT


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.