Friday, July 10, 2015

SURAT PENGESAHAN DARI WSJ ADALAH SATU LANGKAH PENTING - KJ #MALAYSIA

pilihanraya kini     10:10 AM    


Surat yang dihantar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak kepada Wall Street Journal (WSJ) menerusi peguamnya bagi meminta pengesahan berhubung laporan akhbar berkenaan merupakan satu langkah awal yang penting.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata surat berkenaan membolehkan WSJ menjelaskan apa yang dimasudkan oleh akhbar berkenaan menerusi terbitan artikelnya.
"Ini merupakan satu langkah awal yang penting untuk kita tahu apa sebenarnya maksud WSJ dan saya yakin apabila dapat penjelasan daripada pihak WSJ, maka tindakan susulan akan diambil.
"Sekiranya tuduhan duit 1 Malaysian Development Berhad (1MDB) dimasukkan dalam akaun peribadi PM, yang mana PM telah menafikannya dan sekiranya itu yang akan dijelaskan oleh WSJ bahawa itulah maksud artikel tersebut, saya yakin PM akan teruskan dengan tindakan saman," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Gong Badak di sini Khamis.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Terengganu, Johari Abu Bakar.
Khairy berkata langkah tersebut sangat penting untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa artikel tersebut adalah tidak benar.
"Antara langkah lain yang dilakukan ialah untuk kita dapatkan hasil siasatan yang terperinci daripada pasukan petugas khas yang telah ditubuhkan iaitu melibatkan peguam negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara.
"Saya yakin kedua-dua langkah ini sangat penting untuk kita mendapat satu gambaran yang lebih jelas berkenaan kebenaran. Saya harap proses tersebut terutamanya hasil siasatan pasukan petugas ini tidak akan mengambil masa yang terlalu lama kerana terlalu banyak spekulasi dan hasil siasatan ini sangat penting untuk kita sahkan kebenarannya," katanya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.