Thursday, July 9, 2015

TUDUHAN WSJ BERNIAT JAHAT UNTUK PAKSA SAYA LEPASKAN JAWATAN : NAJIB RAZAK

pilihanraya kini     10:04 AM    


Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan peguamnya menghantar surat kepada Wall Street Journal (WSJ) hari ini bagi meminta penjelasan mengenai laporan berhubung tuduhan kononnya beliau menyalahguna dana AS$700 juta milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut Perdana Menteri, ia bagi meminta pengesahan mengenai laporan akhbar tersebut sebelum mengambil tindakan undang-undang (surat tuntutan).
“Sebagaimana arahan saya, surat peguam tersebut meminta Wall Street Journal mengesahkan pendirian akhbar itu berikutan laporan yang menuduh saya menyalahgunakan dana USD700 juta milik 1Malaysia Development Berhad.
“Peguam saya akan mengambil tindakan selanjutnya selepas mendapat pengesahan daripada akhbar terbabit,” katanya menerusi catatan dalam Facebook beliau.
WSJ-Logo
Jumaat lepas, WSJ menyiarkan laporan yang mendakwa sejumlah hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.
Pejabat Perdana Menteri kemudiannya menafikan laporan WSJ itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik.
1MDB juga menegaskan ia tidak pernah menyalurkan dana kepada Najib.
Perdana Menteri turut memaklumkan, siasatan sedang dijalankan Pasukan Petugas Khas untuk menentukan sama ada tuduhan yang dibuat oleh WSJ itu berasas atau tidak.
Siasatan, katanya, mesti mengambil kira kesahihan dokumen yang telah disiarkan bagi menyokong tindakan akhbar tersebut.
“Meskipun begitu, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa saya tidak pernah mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri.
“Tuduhan Wall Street Journal merupakan satu niat jahat yang didokong dan disokong oleh pihak tertentu dalam negara yang bertujuan memaksa saya melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO,” tegasnya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.