Monday, August 17, 2015

92 peratus bayaran balik GST telah disalurkan

pilihanraya kini     3:21 PM    




KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah menyalurkan 92 peratus tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada peniaga berdaftar.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata jumlah bayaran bagi tempoh April hingga Jun berjaya dibayar dalam tempoh 14 hari seperti yang ditetapkan.

"Bagi syarikat selebihnya, terdapat beberapa kesilapan ketika membuat tuntutan balik bayaran, seperti kesalahan mengisi borang, dan kastam tidak dapat menghubungi syarikat terbabit," katanya.

Johari berkata, demikian pada sidang akhbar selepas lawatan pertamanya ke Jabatan Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya hari ini.

Mengenai aduan kelewatan bayaran balik tuntutan semula GST, Johari menjelaskan bahawa sesetengah syarikat tidak mengikut peraturan yang ditetapkan dalam menghantar borang tuntutan balik GST.

"Syarikat yang berpendapatan kurang daripada RM5 juta setahun seharusnya menghantar tuntutan bayaran balik pada setiap suku, namun mereka menghantar tuntutan berkenaan pada setiap bulan.

"Dan, ada antara syarikat pula menuntut bayaran balik GST sehingga berjumlah RM144 juta walaupun setelah diperiksa, tuntutan bayaran balik hanyalah RM1 juta. Ini memerlukan pemeriksaan yang teliti," katanya.

Ditanya mengenai jumlah kutipan cukai sehingga kini, beliau yang enggan mendedahkan jumlahnya, bagaimanapun berkata angka itu hanya akan dimaklumkan pada Disember.

Johari menjelaskan bahawa jumlah keseluruhan yang dikutip akan diumumkan selepas analisis sepenuhnya dijalankan bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah tepat.

"Apa sahaja pengumuman yang dibuat kerajaan akan memberi kesan kepada pelabur di dalam dan luar negara, dan oleh itu, kita kena berhati-hati," katanya.

Sementara itu, Johari berkata, 98 peratus syarikat mematuhi peraturan di bawah GST.

"Syarikat yang tergolong di bawah baki dua peratus itu pula masih memerlukan masa menyesuaikan diri dalam pertukaran daripada cukai jualan dan perkhidmatan, dan Jabatan Kastam akan sentiasa membantu syarikat syarikat ini," katanya. - Bernama

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.