Tuesday, August 11, 2015

Dapatkan pandangan Sabah, Sarawak sebelum tukar PM

pilihanraya kini     4:34 PM    



Sabah dan Sarawak perlu dirunding sebelum mana-mana cubaan menukar perdana menteri dilakukan, kerana kedua-dua negeri itu tulang belakang Barisan Nasional (BN), kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata, sekiranya Datuk Seri Najib Razak ditukar tanpa mengambil kira perasaan negeri Malaysia Timur itu, akan berlaku akibat yang tidak diingini.

"Saya dari Sabah. Tukar perdana menteri bukan saja urusan rakyat di Semenanjung, saya ingatkan, kami tulang belakang BN. Ada sesiapa yang bertanya kepada parti komponen?

"Jika dilakukan tanpa memikirkan perasaan kami, rakyat Sabah dan Sarawak, akan berlaku perkara yang tidak diingini," katanya kepada pemberita selepas pra pelancaran Malaysia Day Ride 2015 di PWTC, Kuala Lumpur.

Rahman berkata, tiada perdana menteri yang mengutamakan Sabah dan Sarawak seperti Najib.

Beliau turut memuji pengumuman Najib semalam yang akan memberikan Sabah dan Sarawak autonomi, sesuatu ditunggu mereka sejak berdekad lalu.

Kedua-dua negeri itu kubu kuat BN walaupun parti itu berdepan laluan sukar sejak 2 pilihan raya lalu.

Sementara itu, Rahman turut mempertahankan kenyataan Najib yang berkata beliau bebas daripada rasuah.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membersihkan Najib dan Umno yakin dana berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri tidak melanggar mana-mana undang-undang.

"Biar SPRM siasat. Memanglah perdana menteri kata ia bukan rasuah. Jika tidak sudah pasti 'game over'.

"Kami tahu ia bukan rasuah, kami percaya ia bukan rasuah. Kami percaya ia dibenarkan Perlembagaan parti dan undang-undang negara,” katanya. 

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.