Wednesday, August 12, 2015

Malaysia Pengeksport Penting Dalam Pendidikan Dunia - Najib

pilihanraya kini     9:37 AM    



KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Malaysia bukan sahaja menjadi pengimport tetapi juga pengeksport penting dalam pendidikan dunia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata tahun lepas, Malaysia mempunyai lebih 135,000 pelajar antarabangsa dari kira-kira 160 negara, yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, serta sekolah antarabangsa.

Malaysia juga berjaya menubuhkan 20 universiti awam, menghoskan kolej universiti, dan beratus-ratus institusi pengajian tinggi swasta termasuk kampus cawangan universiti bertaraf dunia yang terkenal, katanya dalam ucapan pada Pelancaran Yayasan Pendidikan Alma di sini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

Najib berkata: "Bagaimanapun, di sebalik semua ini, dan dasar kita menghantar pelajar ke luar negara, kita masih perlu membangunkan lagi kepakaran sebagai sebuah negara. Sebab itulah dasar itu terus berjalan.'

"Tahun lepas, bilangan pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara ialah kira-kira 90,000 dengan kira-kira 30 peratus ditaja oleh pelbagai agensi berkaitan kerajaan dan perbadanan termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Perkhidmatan Awam, Petronas, Bank Negara Malaysia, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Sime Darby," kata Najib.

Beliau berkata ramai daripada mereka pelajar cemerlang yang mendapat tempat tertinggi dalam pendidikan dan ramai Bumiputera lahir daripada Ivy League dan universiti terkemuka seperti Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat, Oxford dan Universiti Cambridge di London.

"Semua ini adalah bukti bahawa NPE (Dasar Ekonomi Baharu), melalui lebih 120 MRSM (Maktab Rendah Sains Mara) dan SBP (Sekolah Berasrama Penuh) dan beratus-ratus sekolah negeri dan sekolah terpilih, telah berjaya melahirkan elit Melayu yang baharu.

"Hari ini, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah, PNB dan Petronas, dan gergasi kewangan seperti JP Morgan dan Credit Suisse, KPMG dan PWC (PricewaterhouseCoopers) mempunyai beratus-ratus profesional Bumiputera yang membantu Malaysia untuk merealisasikan pendapatan tinggi dan mencapai status negara maju," katanya.

Najib juga berbangga bahawa jurutera Melayu bertanggungjawab membina Menara Jam Diraja Makkah di Arab Saudi, sebuah dari bangunan tertinggi di dunia.

"Saya turut berbangga bahawa orang Melayu adalah sebahagian daripada pasukan yang memenangi pertandingan NASA untuk reka bentuk kenderaan bagi planet Marikh. Kami berbangga apabila seorang tokoh Melayu dilantik sebagai Felo dan pensyarah dalam pengajian Islam di Universiti Oxford," kata beliau.

Najib berkata sebelum pelancaran Dasar Ekonomi Baharu (DEB) pada 1970, pelajar Bumiputera ketinggalan jauh di universiti di Malaysia sendiri.

"Pada tahun itu, sebagai contoh, Universiti Malaya mempunyai hanya seorang pelajar Bumiputera mengikuti bidang kejuruteraan, dan tiga orang dalam fakulti perubatan," katanya.

Yayasan Alma ditubuhkan pada 2010, sebagai sebuah pertubuhan bukan bermotifkan keuntungan, yang dimulakan oleh Alumni Melayu dari universiti Amerika Utara, untuk mengumpul dana, derma, geran dan sumbangan bagi meningkatkan peluang pendidikan untuk pelajar dan graduan Bumiputera yang berpotensi dan layak serta individu lain yang berkaitan.

Yayasan berharap dapat mengumpul dana sehingga tidak kurang daripada RM300 juta setahun.

-- BERNAMA



0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.