Tuesday, August 18, 2015

Saya Bukan Pembelot

pilihanraya kini     10:06 AM    



SANDAKAN: Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin kesal dengan tuduhan yang mengaitkan beliau antara pemimpin Umno yang didakwa terbabit dalam gerakan untuk menggulingkan kerajaan.

Menurutnya beliau tidak tahu wujudnya gerakan itu sehinggalah didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Pada saya tuduhan sebegini kepada saya amat berat dan sungguh dikesali.
Saya tidak pernah menjadi pengkhianat atau pembelot kepada parti yang saya perjuangkan," katanya dalam satu kenyataan, Isnin.

Bung Moktar yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata mungkin beliau selalu bersuara lantang tetapi tidak pernah menggadai maruah kerana tidak bersetuju dengan mana mana pemimpin.

Beliau berkata baginya perjuangan Umno adalah perjuangan yang ikhlas dan bersih.

Menurutnya kalau ada usaha daripada mana-mana pihak mahu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat, beliau adalah orang pertama yang menentangnya.

"Kerana pada saya kerajaan ini dipilih oleh rakyat. Kalau mahu dijatuhkan pun biarlah melalui pilihan raya umum dan bukan di jalan raya atau mana-mana cara yang tidak bermaruah," katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar mahu pihak tidak bertanggungjawab menghentikan penggunaan namanya dalam perkara yang beliau sendiri tidak tahu.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.