Tuesday, August 11, 2015

"Tegurlah pemimpin macam ibu bapa" - Ds Shabery Cheek

pilihanraya kini     4:26 PM    



Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menasihati wanita yang membuat kenyataan Datuk Seri Najib Razak menipu 3 juta ahli parti Melayu itu agar lebih bersopan santun dalam memberikan teguran.

Menteri pertanian dan asas tani itu berkata, teguran terhadap pemimpin perlu dibuat seperti menegur ibu bapa mereka sendiri.

"Saya tahu ramai yang keliru dan ingin luahkan perasaan masing-masing melalui forum termasuk di peringkat mesyuarat.

"Kita boleh menegur tetapi biarlah dengan adab yang baik seperti tegur ibu bapa kita tetapi kita tidak mengherdiknya di depan orang ramai.

"Cara kita menghormati orang tua kita, menegur orang tua kita mestilah dengan adab yang baik. Itu saya nasihatkan kepada wanita berkenaan," katanya di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Shabery turut melarang keras bekas pemimpin Umno yang lain mengeluarkan kata-kata kesat terhadap perdana Menteri.

"Saya ingin nasihatkan juga, walaupun ada orang yang tidak senang terutama bekas pemimpin kita termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya melarang dan sekali-kali saya tidak benarkan mereka mengeluarkan kata-kata kesat," katanya.

Semalam sebuah video yang mengkritik presiden Umno dengan mendakwa "Najib kencing" atau menipu rakyat menjadi viral di media sosial.

Dengan nada tinggi dan berbaur sindiran seorang ahli Wanita Umno lantang menyuarakan pendapatnya di sebuah persidangan perwakilan.

Rakaman tersebut viral di laman Facebook dan setakat ini ditonton lebih 260,000 pengguna media sosial.

Selain peringkat akar umbi, Najib turut dikritik bekas pemimpin Umno.

Dr Mahathir, bekas perdana menteri antara yang paling lantang mempersoalkan Najib terutama dalam isu syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.