Monday, August 17, 2015

Utamakan Barangan Buatan Malaysia

pilihanraya kini     2:54 PM    



Sektor awam dan swasta digalak mengutamakan barangan buatan Malaysia dalam menghadapi cabaran ekonomi khususnya kejatuhan nilai ringgit berbanding US Dollar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, langkah itu akan mendorong aktiviti ekonomi yang menguntungkan Malaysia kerana aliran wang tunai hanya berlaku dalam negara ini dan tidak mengalir ke negara asing.

Kerajaan sedang menggalakkan pengeluar barangan tempatan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menghasilkan produk yang berkualiti dan berupaya untuk dieksport, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Teo Chew Malaysia 2015 di sini, hari ini.

Beliau berkata, berikutan kejatuhan nilai ringgit, perniagaan yang berorientasikan eksport dan menggunakan bahan mentah tempatan dalam pengeluaran produk akan mengaut keuntungan berbanding perniagaan berorientasikan import.

Katanya, kerajaan telah menubuhkan Majlis Eksport Malaysia Negara tahun lepas untuk menggiatkan aktiviti eksport daripada 19 peratus kepada 25 peratus menjelang 2020.

Ka Siong berkata, kerajaan akan membantu usahawan PKS termasuk daripada segi dana untuk mereka mengembangkan pasaran eksport.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Timbalan Presiden MCA berkata, parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu mengutamakan kepentingan rakyat supaya kehidupan mereka lebih baik.

Beliau berkata, parti-parti komponen BN telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mereka mempunyai saluran tertentu untuk menyuarakan pandangan. - Bernama

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.