Monday, September 21, 2015

Johor Tidak Terlibat Dalam Baju Merah - MB Johor

pilihanraya kini     12:23 PM    



PASIR GUDANG - Umno Johor tidak pernah membuat keputusan menghantar peserta ke Himpunan Baju Merah yang diadakan di Kuala Lumpur 16 September lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kes video seorang wanita didakwa berbaur rasis hanya perkara terpencil dan menolak wanita berkenaan ahli Umno Pasir Gudang.

Menurutnya, semua peserta dari Johor yang menyertai himpunan itu hadir atas tiket peribadi tanpa melibatkan Umno.

“Mereka pergi ke himpunan itu atas tiket peribadi, tapi saya tak tahu sama ada betul atau tidak wanita itu dari Pasir Gudang kerana saya mempunyai 20,000 ahli Umno di sini.

“Bagaimanapun ia tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan kita yang telah hidup harmoni bersama masyarakat berbilang kaum,” katanya selepas merasmikan Pasar Borneo yang bernilai RM352,000 di Taman Megah Ria, semalam.

Mohamed Khaled berkata, realiti yang berlaku pada PRU13 mendapati kecenderungan pengundi mengundi hanya pada satu kaum, dan bukannya penilaian kepada prestasi ditunjukkan pemimpin.

Menurutnya, kesannya cukup besar dan tidak bagus kepada negara yang mempunyai masyarakat majmuk kerana membawa ke arah rasis.

“Kita lihat apa yang berlaku pada PRU13 apabila pengundi Cina hanya mengundi orang Cina dan inilah kesannya, sebab itu untuk negeri ini adalah wajar semua masyarakat bekerjasama dan mengundi berasaskan asas yang tidak cenderung kepada satu kaum.

“Kita perlukan rakyat bersikap sederhana, rasional dan tentukan kerajaan yang nak diwujudkan adalah kerajaan berkesan dan kerajaan yang mampu membawa pembangunan serta kemajuan pada rakyat, bukannya kerajaan yang membawa sentimen sempit,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai Belanjawan Johor 2016, Mohamed Khaled berkata, ia akan dibentangkan November depan yang memfokuskan kepada transformasi masyarakat luar bandar, pembangunan inklusif dan membawa kesejahteraan kepada rakyat memerlukan.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memberi penekanan kepada kemahiran masyarakat melalui pendekatan pengupayaan masyarakat supaya keperluan ekonomi yang berlaku dalam keadaan mereka lebih bersedia.

“Masyarakat Johor mesti ada ilmu dan kemahiran kerana tak ada jaminan hanya mengharapkan semata-mata kepada keistimewaan.

“Kita nak masyarakat Johor mengupayakan diri kerana kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi yang berlaku untuk rakyat dalam keadaan mereka sudah bersedia,” katanya.

1 comments :

Anonymous said...

mcm tak caya ungkapan dari Khaled Nordin... berbudi pada cina DAP tak de untung nya....

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.