Wednesday, September 9, 2015

Majlis Peguam dapatkan sokongan ahli, saman penghalang siasatan 1MDB, derma RM2.6 bilion

pilihanraya kini     10:01 AM    



Majlis Peguam mahu ahlinya memberi mandat untuk badan itu mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang bertanggungjawab menghalang siasatan ke atas kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes “derma” RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

Ini adalah antara cadangan yang dikemukakan pengerusinya Steven Thiru yang akan dikemukakan pada mesyuarat tergempar majlis itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Salinan usul itu dihantar kepada 16,000 peguam di Semenanjung Malaysia semalam.

Satu salinan usul itu yang diberikan kepada The Malaysian Insider turut menyatakan majlis itu akan mengambil langkah sewajarnya bagi mempertahankan dan memelihara kedaulatan undang-undang, menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan melindungi pentadbiran kehakiman.

Usul itu juga akan membincangkan penyingkiran mengejut bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail daripada jawatannya.

Majlis itu juga menggesa kerajaan supaya menasihati Yang di-Pertuan Agong menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan salah laku kewangan mengenai 1MDB yang dibebani hutang berjumlah lebih RM42 bilion dan pemindahan dana RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Putrajaya berkata RM2.6 bilion itu adalah sumbangan derma daripada penderma Timur Tengah yang identitinya tidak didedahkan.

Agenda lain yang turut diketengahkan adalah mengenai tindakan kerajaan melumpuhkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), gangguan, ugutan dan penindasan ke atas pegawai penyiasat Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia dan pihak polis cawangan khas yang berada dalam pasukan petugas khas bagi menyiasat kemelut 1MDB dan RM2.6 bilion.

Steven berkata, EGM itu adalah selaras dengan objektif yang dinyatakan dalam Seksyen 42 Akta Profesion Undang-undang yang menyatakan Majlis Peguam perlu menegakkan keadilan tanpa mengira kepentingan diri atau kepentingan ahlinya.

Pada 28 Julai lalu, Gani dipecat daripada jawatannya dan digantikan dengan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Gani adalah ketua pasukan petugas khas yang menyiasat 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Pada hari yang sama, bekas pengarah Cawangan Khas Datuk Seri Akhil Bulat yang akan bersara dan sedang bercuti, digantikan Datuk Seri Mohamad Fuzi Haron, bekas pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Pegawai yang turut dipindahkan daripada Cawangan Khas adalah timbalan Akhil, Datuk Abdul Hamid Bador, yang diarah melapor diri ke bahagian keselamatan baharu di Jabatan Perdana Menteri.

Pada 7 Ogos lalu, 2 pengarah SPRM dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri berkuat kuasa serta merta, tetapi pemindahan mereka dibatalkan selepas 48 jam kerana mendapat tekanan daripada orang awam.

Tujuh pegawai SPRM juga dipanggil untuk disoal siasat pihak polis.

Siasatan yang dilakukan SPRM adalah berkaitan dengan SRC International ke atas pinjaman RM4 bilion daripada dana pencen kerajaan (KWAP) kepada 1MDB dan seterusnya memindahkan RM42 juta ke dalam akaun peribadi Najib.

Pihak polis sudah menyiasat pegawai SPRM berkenaan berhubung kebocoran siasatan itu mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana "aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen", tetapi ia menimbulkan dakwaan yang usaha terbabit bertujuan menggagalkan siasatan suruhanjaya itu.

Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pada 13 Ogos mendedahkan 7 pegawai turut disoal siasat polis berhubung dakwaan maklumat bocor yang berkaitan dengan siasatan 1MDB.

Pada 16 Ogos lalu, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Datuk Abdul Rahman Dahlan dipetik sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebagai berkata, Najib terpaksa "mengeluarkan orang" selepas satu salinan draf kertas pertuduhan yang didakwa terhadapnya tersebar.


Bekas pegawai di pejabat Jabatan Peguam Negara Jessica Gurmeet Kaur yang baru-baru ini ditahan kerana terbabit dalam siasatan 1MDB turut ditamatkan kontraknya pada bulan lepas. – 9 September, 2015.

-

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.