Monday, September 7, 2015

Mendiang Inspektor Margaret akan dianugerah pangkat ASP - KPN

pilihanraya kini     8:34 AM    



KUALA LUMPUR: Pegawai polis wanita yang maut selepas dirempuh seorang remaja dipercayai mat rempit, di Jalan Batu Pahat-Mersing, semalam, akan dianugerahkan pangkat 'Posthumous' Asisten Superintendan Polis (ASP) dalam masa terdekat. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengesahkan pihaknya akan menganugerahkan pangkat ASP kepada Mendiang Inspektor Margaret Tagum Anak Goen, 32, sebagai penghormatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pengorbanannya itu. Khalid turut mengucapkan syabas kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang yang berjaya menahan seorang pemuda yang didapati menghina mendiang Inspektor Margaret, menerusi laman mikro, Twitter, malam tadi. 

Margaret yang sudah lima tahun bertugas di Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, meninggal dunia ketika dalam rawatan kecemasan di Hospital Kluang pada 12.45 tengah hari semalam. Ketua Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad, berkata ketika kejadian pada 2.30 pagi semalam, Margaret bersama 20 anggota dan pasukan sukarelawan sedang mengadakan sekatan jalan raya menerusi Ops Roda bagi membanteras kegiatan lumba haram di kawasan berkenaan. "Sekatan jalan raya itu diadakan pada jam 1.30 pagi dan sejam kemudian terdapat antara empat hingga lima motosikal dari arah Mersing menuju ke bandar Kluang cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya itu, sebelum seorang daripada penunggang berusia 17 tahun secara tiba-tiba merempuh Margaret. 

"Akibat rempuhan itu, mangsa jatuh dan mengalami kecederaan parah termasuk patah tangan kiri, tulang pinggul dan mengalami pendarahan dalaman di perut dan dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut. "Selepas bertarung nyawa hampir 11 jam dan mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), beliau menghembuskan nafas terakhir tengah hari tadi (semalam)," katanya di pekarangan Hospital Kluang, semalam. KETUA Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad (kiri) menyampaikan sumbangan kepada suami Margaret, Leon anak Bahak ketika melawat jenazah mangsa di Hospital Kluang, semalam. 

 Rusli berkata, mendiang akan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Bogak, Bau, Sarawak, hari ini. Katanya, suspek terbabit ditahan polis di lokasi kejadian selepas terjatuh akibat rempuhan itu dan cedera ringan di tangan dan kaki. "Hasil siasatan lanjut, polis menahan enam lagi rakan suspek berusia 14 hingga 20 tahun di rumah masing-masing di sekitar daerah berkenaan, pagi semalam," katanya. "Kesemua mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. Sementara itu, suami mendiang, Leon Bahak, 37, berkata beliau amat sedih dengan kejadian menimpa isterinya yang dikahwini sejak enam tahun lalu dan berharap individu yang menyebabkan kematian mangsa menerima hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

 "Saya merasa bangga dengan tugas dijalankan mendiang walaupun sedar risiko bakal menimpa berikutan tugas yang disandangnya. "Biar polis menjalankan tugas mereka dan berharap hukuman yang diberikan menjadi pengajaran kepada mereka yang lain supaya tidak mengulangi kesalahan sama hingga menyebabkan kematian," katanya yang berkhidmat sebagai anggota tentera di Unit 61 Rejimen Artileri Diraja Kem Mahkota Kluang di sini.



0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.