Wednesday, September 9, 2015

Parti Pekerja sedia sepenuhnya jadi Parti Amanah Negara

pilihanraya kini     2:38 PM    



Parti Pekerja-pekerja Malaysia semalam meluluskan pertukaran namanya kepada Parti Amanah Negara (Amanah) di samping menukar logo dan benderanya pada satu mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata logo dan bendera baharu parti itu akan dilancarkan sepenuhnya pada satu perhimpunan yang bakal diadakan 16 September ini.

EGM semalam adalah yang kedua diadakan parti itu selepas yang pertama pada bulan lalu.

Pada EGM Ogos, mereka mencapai kata sepakat menukar kepimpinan parti itu kepada kepimpinan baru iaitu yang dibarisi pemimpin Gerakan Harapan Baru (GHB), bagi membolehkan mereka mengambil alih parti itu daripada kepimpinan lamanya.

Anuar yang sebelum ini terlibat membentuk Parti Keadilan Nasional (PKN), menceritakan bagaimana pihaknya boleh mengambil alih parti itu.

"Apabila kami berusaha mencari satu wadah baharu untuk bergerak, kami temui nama parti pekerja ini yang ditubuhkan sejak 1978 dan pernah bertanding di Sungai Besi dalam pilihan raya umum selepas itu.

"Kami jumpa setiausaha agungnya, Gopalan K Papachan. Beliau seorang yang sangat dinamik.

"Apabila mendengar hasrat kami itu, beliau sendiri sedia serahkannya kerana percaya kami akan meneruskan perjuangan untuk memberikan hak kepada rakyat dengan sewajarnya," kata Anuar.

Selepas beberapa siri perbincangan, Gopalan menyatakan persetujuan rakan-rakannya yang lain dan beliau sendiri akan turut serta dalam parti ini bagi meneruskan kesinambungannya, kata Anuar. – 9 September, 2015.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.