Wednesday, September 9, 2015

Tak Mustahil PAS Sendiri - Presiden PAS

pilihanraya kini     10:20 AM    



Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menolak kemungkinan parti Islam itu akan bergerak sendiri berdasarkan senario dalaman parti itu, lapor Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan PAS akan bersendirian lagi selepas ini susulan kedudukan parti itu dalam gabungan parti pembangkang baharu yang bakal terbentuk masih tidak pasti.

"Dalam politik tiada yang mustahil," beliau dipetik berkata pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di Kuala Terengganu semalam.

Menurut Hadi, parti itu pernah bergerak sendiri sebelum ini tanpa bergantung dengan mana-mana parti komponen.

Katanya, pengalaman tersebut secara tidak langsung mematangkan PAS.

"PAS pernah berdikari. PAS juga pernah bersama dengan parti komunis sebelum merdeka. Kita pernah dengan sosialis. PAS pernah bersama kerajaan campuran pada 1970 dengan Umno-Perikatan dan menyertai koalisi pemerintah Barisan Nasional (BN) pada 1974.

"PAS juga pernah bersendiri. Pernah pada 1982 semua ahli Parlimen PAS dalam kerajaan Kelantan tiada. Hanya tinggal Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tapi kini sudah 20 tahun lebih kita perintah Kelantan. DAP baru satu penggal saja menjajah," katanya.

Sementara itu, mengulas pendirian PAS berhubung kemasukan ahli parti tersebut menyertai Parti Pekerja Malaysia yang akan diambil alih dan ditukar menjadi Parti Amanah Negara (Amanah), beliau berkata, perkara sama pernah berlaku sebelum ini dan ia bukanlah fenomena baharu dalam parti Islam itu.

"PAS masih teruskan dengan apa yang kita perjuangkan pada hari ini dan kita ada kekuatan kita sendiri.

"Mengenai DAP dan PKR yang terima Parti Pekerja, PAS akan lihat dulu bagaimana penerimaan mereka," katanya sambil menambah pihaknya akan menunggu laporan penuh daripada badan perhubungan PAS negeri mengenai kemasukan ahli PAS ke dalam Parti Pekerja. – 9 September, 2015.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.