Monday, November 23, 2015

Komuniti Asean: Kita Kini Satu Keluarga Besar

pilihanraya kini     10:30 AM    



KUALA LUMPUR: Pemimpin 10 negara Asia Tenggara pada Ahad menandatangani deklarasi bersejarah bagi pembentukan Komuniti ASEAN menjelang 31 Disember 2015 yang menggariskan ketetapan untuk meningkatkan integrasi di rantau yang mempunyai populasi lebih 600 juta.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku pengerusi ASEAN 2015, disertai pemimpin sembilan lagi negara Asia Tenggara dalam menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur 2015 bagi Pembentukan Komuniti ASEAN.

Mereka juga menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur bagi ASEAN 2025: Maju Bersama, dokumen yang menggariskan hala tuju komuniti itu untuk 10 tahun akan datang.

Selepas majlis pemeteraian itu, pemimpin berkenaan memuktamadkan upacara itu dengan membuat satu pukulan pada dram secara serentak, melambangkan keazaman ASEAN ke arah menjadi satu komuniti.

Selain Najib, dokumen itu ditandatangani oleh Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Laos Thongsing Thammavong, Presiden Myanmar U Thein Sein, Presiden Filipina Benigno S. Aquino, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha dan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung.

Perdana menteri pada sidang akhbar setelah berakhirnya Sidang kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan berkata, Komuniti global mengiktiraf sumbangan besar Malaysia kepada ASEAN dalam memupuk hubungan erat dalam kalangan negara anggota pertubuhan itu dan penggiat antarabangsa.

Beliau berkata Malaysia memperoleh markah tinggi kerana kejayaannya mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, sekali gus meningkatkan imejnya di persada antarabangsa.

Menurut Najib, walaupun beliau telah menghadiri banyak sidang kemuncak kebelakangan ini, namun Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 adalah yang paling bermakna apabila 18 pemimpin membincangkan pelbagai isu besar dan perkembangan lain yang berlaku di seluruh dunia.


"Saya menyifatkannya (Sidang Kemuncak ASEAN ke-27) sebagai Sidang Kemuncak ASEAN paling berjaya. Malah, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-Moon sanggup datang dari New York hanya untuk sehari bagi menghadiri sidang kemuncak ini.

"Itu menunjukkan betapa meningkatnya pengiktirafan global terhadap ASEAN.
ASEAN bukan semata-mata sebuah pertubuhan serantau, tetapi telah mencapai tahap di mana dunia mengiktiraf kepentingannya," katanya.

Sebagai rakyat Malaysia, kata Najib, beliau amat bangga apabila dimaklumkan bahawa pelbagai pihak memandang begitu tinggi terhadap Malaysia dan ini merupakan suatu sumbangan dalam membina imej negara di peta dunia.

"Bagi Malaysia, sebagai tuan rumah dan pengerusi ASEAN, seluruh proses Sidang Kemuncak ASEAN telah mencapai kejayaan dari segi menangani cabaran semasa dan isu ektremisme keganasan serta semangat kebersamaan global," katanya.

Ditanya tentang bagaimana Malaysia merancang untuk menjadikan rakyatnya faham tentang Komuniti ASEAN, Najib berkata: "Apabila kita bercakap tentang komuniti ini, terdapat tiga tonggak (politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya) dan kita telah mencapai kejayaan besar dalam mengurangkan tarif ke tahap sifar atau hampir sifar.

"Kita juga mencapai kemajuan dan pertumbuhan ekonomi yang hebat dalam bidang ini, dan kini, ASEAN dilihat sebagai rantau paling dinamik di dunia".

Kata beliau, di samping mencapai kemajuan ekonomi secara kukuh dalam Komuniti ASEAN, beliau berpendapat warga ASEAN juga perlu memiliki semangat berkomuniti di dalam hati dan minda masing-masing.

"Ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk mencapainya, tapi ia bukan sesuatu yang sukar bagi kita," katanya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.