Monday, February 29, 2016

Keputusan Gantung Muhyiddin Wajar - Tajuddin

pilihanraya kini     9:33 AM    



Keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO menggantung Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO adalah tindakan yang wajar, kata anggota MT UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata tindakan Muhyiddin yang terus mengkritik kepimpinan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan melemahkan parti.

“Kalau beliau masih sayangkan parti jangan buat tindakan yang memecah-belahkan walaupun telah digantung, kena terima keputusan dengan hati terbuka dan terus menyokong parti.

“Saya juga pernah dipecat (daripada UMNO) pada 1995, namun saya terima keputusan Majlis Tertinggi dengan hati terbuka … saya tidak sabotaj atau menentang parti sebab saya sayangkan UMNO,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Dataran Nelayan Kota Setia di sini, hari ini.

Jumaat lepas, MT UMNO sebulat suara membuat keputusan menggantung jawatan Muhyiddin sebagai timbalan presiden berkuat kuasa serta merta, dan memutuskan Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjalankan tugas sebagai timbalan presiden parti.


Terdahulu, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani melepaskan kira-kira 100,000 benih anak udang galah di perairan Sungai Perak serta menyampaikan elaun sara hidup sebanyak RM200 kepada setiap 85 nelayan.

Di ALOR SETAR, UMNO Bahagian Pendang yakin Ahmad Zahid mampu menjalankan tugas sebagai timbalan presiden UMNO dengan baik demi memastikan kelangsungan parti.

Ketua UMNO Bahagian Pendang Datuk Paduka Md Rozai Safian berkata, keyakinan itu dibuktikan dengan kebolehan dan prestasi cemerlang ditunjukkan Ahmad Zahid walaupun baru beberapa bulan menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“UMNO Pendang sangat menyokong dan akan memberi kerjasama penuh dalam hal-hal yang berkaitan dengan tugasan beliau,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Rozai turut berkata, gandingan Menteri Besar Kedah yang baharu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai timbalan pengerusi mampu menghasilkan impak baik.

“Kami juga ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir atas perkhidmatan, budi dan jasa beliau terhadap UMNO Pendang sepanjang beliau menjadi Menteri Besar dan pengerusi badan perhubungan UMNO Kedah,” katanya.

– Bernama

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.