Monday, February 29, 2016

Pikul Tugas Timbalan Presiden Bukan Satu Hadiah - Zahid

pilihanraya kini     11:45 AM    



“Saya tidak anggap ini satu hadiah tetapi tanggungjawab baharu yang pada hemat (pemikiran) saya turut didukung rakan-rakan dalam Majlis Tertinggi UMNO yang bersidang Jumaat lalu.”

Demikian ulasan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung keputusan Majlis Tertinggi parti memilihnya menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin digantung daripada jawatan itu, kelmarin.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, untuk itu pihaknya meminta semua pemimpin dan ahli UMNO termasuk Barisan Nasional (BN) bersama-sama merapatkan barisan bagi membina, memperkukuh dan memperkasakan parti.

“Tugas ini adalah untuk tidak mengetepikan mana-mana tokoh atau individu yang terdahulu dan yang agak bersifat antagonis dalam keputusan sebulat suara yang telah diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO.

“Namun pada hemat saya, babak-babak baharu dalam pengkisahan politik di Malaysia ini harus dibuka bagi kita melupakan kekaburan politik yang selama ini telah diwarnakan dengan pelbagai warna politik yang akhirnya me­nimbulkan kekeliruan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2016 di Taman Awam Lawas, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Kelmarin, Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara memutuskan menggantung Muhyiddin daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO berkuat kuasa serta-merta sehingga tempoh pemilihan parti pada 2018.

Berdasarkan Perlembagaan UMNO yang tidak memperuntukkan jawatan Pemangku Timbalan Presiden, Majlis Tertinggi memutuskan Ahmad Zahid menjalankan tugas-tugas sebagai Timbalan Presiden.

Ahmad Zahid memberitahu, azam baharu perlu dipupuk ter­utama memastikan parti terus berada di kemuncak dalam mendapatkan sokongan serta memahami cita rasa rakyat dengan mende­ngar keluhan mereka.

“Jangan ada sindrom penafian dalam kalangan kita. Saya akan mendekati semua pihak termasuk tokoh-tokoh terdahulu,” jelasnya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri bertegas supaya pembinaan bangunan baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas yang telah diluluskan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 dipercepatkan selain kerja-kerja menaik taraf Balai Polis Merapok dan Sundar.

Begitu juga dengan pembinaan lapangan terbang baharu Lawas yang perlu disegerakan untuk kemudahan penduduk di Lawas dan sekitarnya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.