Thursday, June 16, 2016

Beri Peluang Kepada Calon Bn

pilihanraya kini     11:06 PM    




Pengundi di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak diseru memberikan undi kepada kedua-dua calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen berkenaan, Sabtu ini.

Pengerusi Pakatan badan bukan kerajaan (NGO) Pro BN Zulkarnain Mahdar berkata peluang itu akan membolehkan Budiman Mohd Zohdi dan Datin Mastura Mohd Yazid meneruskan kesinambungan wawasan pembangunan yang telah dirancang oleh kedua-dua bekas anggota Parlimen kawasan itu sebelum ini.

"Inilah masa yang paling tepat dan cukup sesuai untuk pengundi menguji kebolehan Yang Berhormat Budiman dan Datin Mastura untuk memberikan khidmat terbaik kepada pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Sekiranya dalam tempoh berbaki hanya kurang daripada dua tahun sebelum pilihan raya umum diadakan dan kedua-dua calon BN ini tidak berkeupayaan berkhidmat untuk mereka, maka dari segi logiknya pengundi di kedua-dua Parlimen tersebut boleh menukar calon daripada parti lain bagi mewakili mereka," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Zulkarnain yang juga Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) berkata secara logiknya, sekalipun calon parti pembangkang menang di kedua-dua kerusi tersebut, landskap politik negara tetap tidak akan berubah.

Ini kerana BN masih tetap kukuh dengan 131 kerusi berbanding pembangkang 91 kerusi sekalipun pembangkang mendapat tambahan undi dua kerusi Parlimen yang akan datang, katanya.

Katanya latar belakang calon juga tidak seharusnya dipandang ringan oleh pengundi kerana jika diukur dari segi keupayaan calon, kedua-dua calon BN mempunyai kelebihan yang tersendiri.

"Sebagai contoh, YB Budiman amat dikenali oleh penduduk di Sungai Besar sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat. Sepanjang tiga tahun Budiman menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang di bawah Parlimen Sungai Besar, beliau telah menunjukkan prestasi sebagai wakil rakyat yang cukup cemerlang dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Mastura pula sering dilihat menemani suaminya Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad sepanjang memberikan khidmat untuk rakyat di Kuala Kangsar.

Pengalaman itu sudah tentu boleh dijadikan panduan oleh Mastura dalam memberikan khidmat terbaik untuk penduduk Kuala Kangsar, katanya.

Kedua-dua PRK itu diadakan berikutan kedua-dua penyandang kerusi berkenaan, Tan Sri Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Wan Mohammad Khair-il Anuar terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Parlimen Sungai Besar yang mempunyai 42,655 pengundi berdaftar bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Budiman, calon PAS Dr Abdul Rani Osman dan calon parti Amanah Negara (Amanah) Azhar Abdul Shukur.

Bagi Parlimen Kuala Kangsar yang mempunyai 32,949 pengundi pula menyaksikan Mastura ditentang tiga calon lain iaitu calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (AMANAH) dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

SUMBER -- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.