Tuesday, June 7, 2016

Calon Bebas Kuala Kangsar hina wanita

pilihanraya kini     3:00 PM    




Kenyataan calon Bebas di PRK Kuala Kangsar, Izat Bukhary Ismail Bukhary yang mempertikaikan kemampuan wanita menjadi pemimpin merupakan penghinaan terhadap golongan itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kenyataan calon Bebas itu dilihat telah memperkecilkan kemampuan golongan wanita di negara ini.

“Ia bukan satu sikap yang baik apabila memperkecilkan kebolehan orang lain terutama wanita yang bertanding dalam PRK kali ini (calon PAS dan BN), ia tidak seharusnya ditonjolkan seseorang yang bertanding untuk mewakili rakyat,” katanya selepas meninjau operasi Bilik Gerakan BN di Safari Resort, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Izat Bukhary semalam bahawa hanya lelaki layak menjadi pemimpin dan bukannya wanita.

Calon Bebas itu dipetik sebagai berkata: “Lelaki perlu menjadi pemimpin, bukan wanita. Kalau memimpin keluarga pun tidak mampu, bagaimana mereka hendak memimpin sesuatu yang lebih besar?” soalnya selepas proses penamaan calon di Dewan Jubli Perak, semalam.

Zambry yang juga Pengarah Pilihan Raya BN PRK Kuala Kangsar turut meminta semua pihak yang berkempen dalam PRK itu supaya berkempen secara berhemah bagi menghormati kemuliaan bulan Ramadan.


“Elakkan perkara yang boleh kurangkan pahala puasa dan paling penting kita berkempen dengan cara berhemah tanpa melakukan fitnah yang boleh mencemarkan ibadat puasa,” katanya.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.

PRK Kuala Kangsar yang menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, PAS, AMANAH dan Bebas itu akan berlangsung pada 18 Jun ini.

Selain calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid, seorang lagi calon wanita ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad.

AMANAH pula diwakili Naib Ketua kawasan Kuala Kangsarnya, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.