Wednesday, June 8, 2016

GEMPAR!! IMPIAN ARWAH SUAMI DATIN MASTURA YANG MASIH BELUM TERCAPAI #PRKKualakangsar

pilihanraya kini     8:30 AM    



Keputusan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid, bertanding menjadi isu kerana dikatakan tidak setanding dengan kemampuan suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Ramai yang berpendapat ada calon lain yang lebih layak dan berwibawa untuk menghadapi saingan lawan dan membawa pembangunan di Kuala Kangsar jika BN memenangi semula kerusi berkenaan. Namun, dalam wawancara khas di kediamannya di Bukit Chandan di sini malam kelmarin, beliau menyatakan keyakinannya untuk mengibar bendera BN pada 18 Jun depan dan seterusnya menyambung impian arwah suaminya jika menang.

"Saya bertanding memandangkan usaha arwah yang masih banyak perlu diselesaikan. Perkara yang saya nak bawa di Kuala Kangsar ini adalah perkara besar yang perlu diberi perhatian khusus dan saya sendiri mempunyai 'personal knowledge' (pengetahuan secara peribadi) mengenainya.

"Sebab saya selalu bersama arwah ketika beliau memikirkan apa yang harus dibuat dan sedikit sebanyak diminta untuk memberi pandangan. Pada masa sama, saya rasa saya boleh memberi sentuhan yang sama kepada kerja-kerja arwah. Itu juga saya rasa penduduk Kuala Kangsar perlukan daripada wakil mereka," katanya dalam wawancara yang pertama dengan media sejak diumumkan untuk bertanding minggu lalu.

Mastura yang dalam edah selama empat bulan 10 hari juga bercerita hasrat merealisasikan impian arwah suaminya untuk melaksanakan projek Jambatan Manong, membaik pulih dan pembangunan pesisiran Sungai Perak serta projek berasaskan pelancongan dan pendidikan.

"Projek pelancongan yang hendak dibawa arwah supaya meletakkan Kuala Kangsar di peta dunia dan terkenal sama hebat seperti kota (lain) yang terletak di tebing sungai. Mungkin perkara ini macam sedikit lucu, tetapi seperti dia (arwah suami) kata 'you like to have Venice in the east' (Venice di Timur)," katanya.

Perancangan lain ialah mewujudkan sebuah lagi universiti dan membina Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dengan impian menjadikan Kuala Kangsar umpama bandar Oxford dan Cambridge di United Kingdom, iaitu bandar pendidikan dan pelancongan.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.