Tuesday, June 7, 2016

Kaum Cina Sungai Besar Sokong BN - Presiden Gerakan

pilihanraya kini     3:09 PM    




Respons dan sokongan diberikan pengundi Cina terutamanya di kawasan Sekinchan terhadap kempen Barisan Nasional (BN) kini lebih positif berbanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), kata Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, kempen rumah ke rumah yang dilakukan jentera pilihan raya parti itu sejak semalam mendapati pengundi Cina di kawasan Sekincan mula menyambut tangan yang dihulurkan.

"Saya lihat penduduk sekitar sini sudah mula memberikan respons yang baik berbanding 2013 (PRU13) menerusi kempen rumah ke rumah sejak semalam. Masa 2013 penduduk sekitar kawasan ini langsung tidak mahu keluar rumah apabila jentera parti kita datang rumah mereka.

"Meskipun terlalu awal untuk mengesahkan sokongan itu sebab tempoh kempen (pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar) baru bermula, namun saya melahirkan keyakinan yang BN boleh menang dengan lebih banyak undi dan kita akan membantu kempen calon BN," katanya kepada pemberita selepas program tinjauan mesra di kawasan perkampungan nelayan Bagan Sekinchan di sini hari ini.

Turut menyertai tinjauan itu ialah calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi bagi bertemu pengundi sambil mengedarkan risalah.

Mah berkata sehingga petang ini, kempen jentera Gerakan telah mendekati 250 rumah dan beliau menyasarkan 1,500 kediaman pengundi akan didekati dengan kekuatan lebih 500 jentera Gerakan di kawasan Sekinchan.

Katanya parti menggerakkan beberapa kumpulan kecil untuk berkempen dari rumah ke rumah bagi menerangkan pelbagai isu dan dasar kerajaan.

Kawasan Parlimen Sungai Besar mempunyai 13,094 pengundi Cina daripada keseluruhan 42,655 jumlah pemilih berdaftar dengan majoriti tertumpu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan iaitu sebanyak 9,139 pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Sungai Besar diadakan serentak dengan PRK Parlimen Kuala Kangsar, Perak pada 18 Jun.

Kedua-dua PRK itu diadakan berikutan penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, pada 5 Mei lepas.

-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.