Tuesday, June 7, 2016

Kerjasama Parti Komponen BN Berkempen Mampu Memberi Kejayaan Besar Buat BN

pilihanraya kini     3:04 PM    




Pergerakan jentera pilihan raya yang lebih tersusun dan kerjasama padu daripada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dipercayai mampu membantu calonnya Budiman Mohd Zohdi mengekalkan benteng parti di Sungai Besar.

Pengerusi BN negeri, Tan Sri Noh Omar berkata selain jentera UMNO, parti-parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan misalnya dilihat telah membuka bilik gerakan masing-masing bagi membantu kempen yang akan diadakan dalam bulan Ramadan ini.

"Setakt ini kita lihat MCA dan Gerakan misalnya mula turun padang dan berjumpa dengan pengundi Cina di Sekinchan dan kita lihat mereka (parti komponen) beri kerjasama cukup baik," katanya dalam sidang media, di sini.

PRK Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini bakal menyaksikan Budiman ditentang calon dari PAS yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Meru, Dr Abdul Rani Osman manakala Parti Amanah Negara (Amanah) mempertaruhkan Pengerusi Amanah Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur.

Ditanya sama ada tumpuan yang lebih kepada pengundi Cina akan menjejaskan sokongan pengundi kaum lain terhadap BN, Noh yang juga Pengarah PRK itu menjelaskan perkara tersebut tidak akan berlaku memandangkan jentera parti mendekati semua pengundi tanpa mengira kaum.

Beliau dalam pada itu berkata pihaknya juga telah mengenal pasti kekuatan dan kelemahan di setiap 30 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen Sungai Besar.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen tersebut, Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon yang terkorban dalam nahas helikoper di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.