Thursday, June 16, 2016

Pembangkang Bercelaru Dalam PRK Sungai Besar

pilihanraya kini     11:11 PM    




Bercelaru. Itulah perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan keadaan parti-parti pembangkang yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Apa tidaknya, parti pembangkang mempunyai kerjasama yang pelik, apabila PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), sebuah parti serpihan PAS, telah membentuk Pakatan Harapan, tetapi PAS masih bersama PKR dan DAP dalam kerajaan negeri Selangor.

PAS pula mengadakan kerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), yang mereka sifatkan blok politik ketiga di negara ini.

Dalam kes di Selangor ini, Amanah "bercerai" daripada PAS lalu "berkahwin" dengan DAP dan PKR, sedangkan dulu PKR dan DAP pernah "berkahwin" dengan PAS. PAS kemudian "berkahwin" dengan Ikatan.

Ibarat berpoligami, PKR yang kini "berkahwin" dengan Amanah pada masa sama tetap ingin bersama dengan PAS, manakala DAP dan PAS yang telah lama "bercerai" masih tinggal serumah.

Jika diteliti, parti-parti pembangkang sebenarnya tidak mempunyai pendirian yang jelas dalam kerjasama antara mereka, tetapi mereka sanggup lakukan kerjasama seperti itu kerana matlamat mereka hanya satu iaitu menewaskan BN.

KELUARGA 69

Seorang rakan penulis menyifatkan kerjasama antara parti-parti pembangkang di Selangor seperti 'Keluarga 69', merujuk kepada sebuah filem komedi arahan Tan Sri P. Ramlee pada 1967.

Walaupun tidak menggambarkan sepenuhnya situasi di Selangor ketika ini, tetapi banyak juga persamaan dengan filem itu iaitu sebuah keluarga melibatkan anak dan bapa.

Kecelaruan timbul apabila si anak mengahwini ibu kepada isteri ayahnya, dan seterusnya berlaku perkahwinan membabitkan keluarga berkenaan yang saling berkaitan sehingga timbul permasalahan status panggilan anak, bapa, ibu, menantu dan mentua yang melucukan.

PRK Sungai Besar pada Sabtu ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi; calon PAS yang juga ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman dan Azhar Abdul Shukur daripada parti Amanah, yang mewakili Pakatan Harapan.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Di peringkat nasional, PKR yang menerajui kerajaan negeri mempunyai "ikatan perpaduan" dengan DAP dan Amanah, tetapi dalam kerajaan negeri tiada langsung wakil Amanah, dengan pentadbiran negeri diisi oleh PKR, DAP dan PAS.

Apabila Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Timbalan Presiden PKR menyatakan sokongan terbuka terhadap calon Amanah dua hari lepas, adakah ini bermakna beliau telah mengkhianati PAS dalam kerajaan negeri?

Penamaan calon berlangsung pada 5 Jun lepas tetapi mengapa Azmin menunggu sehingga hari ke-10, baru hendak menyatakan pendirian beliau?

Bagaimana pula penerimaan PAS, iaitu sekutu PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat yang kini telah berkubur, apabila dikhianati oleh rakan mereka dalam kerajaan negeri?

Orang ramai melihat perkembangan ini sebagai satu kecelaruan tetapi parti-parti pembangkang menyatakan 'hidup mesti diteruskan' untuk menumbangkan BN menerusi medium yang sama iaitu pilihan raya, meskipun aspirasi parti masing-masing jelas berbeza.

PAS TERPINGGIR DI BUMI SENDIRI

Walaupun apapun isu di peringkat nasional, PAS merupakan antara tiga pihak yang membentuk kerajaan negeri Selangor, tetapi pada PRK Sungai Besar, mereka dipinggirkan oleh sekutu iaitu PKR dan DAP yang menyokong seteru mereka iaitu AMANAH.

Tidak mahu dipersalahkan dalam hubungan PKR dengan Amanah dan PAS, Azmin hanya mampu menjawab beliau tidak perlu 'beriya-iya' untuk berkempen pada PRK Parlimen Sungai Besar.

Alasannya, kerajaan Selangor telah banyak menabur jasa kepada rakyat kawasan itu sejak memegang tampuk pentadbiran negeri mulai tahun 2008.

Hakikatnya PAS terpinggir dalam kempen PRK Sungai Besar pada ketika rakan mereka iaitu PKR yang bersama dalam kerajaan negeri, secara tidak langsung telah menentang mereka dengan membantu calon Amanah.

Bagi Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad, walaupun bersendirian dalam PRK Sungai Besar dan apa sahaja keputusan PRK itu, AMANAH tidak akan menggantikan tempat parti itu dalam kerajaan negeri.

Katanya PAS akan tetap bersama kerajaan dan memegang kerusi Exco dalam kerajaan negeri itu.

"AMANAH perlu ingat, PAS, DAP dan PKR yang membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, sebelum wujudnya AMANAH," katanya baru-baru ini.

HUSAM DAN AMANAH

Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor Datuk Husam Musa yang dipecat daripada PAS, telah berkempen untuk AMANAH tetapi masih belum berani untuk membuat pengumuman pendiriannya yang sebenar.

Walaupun begitu jelas mengkritik PAS dan cenderung kepada AMANAH, bekas Naib Presiden PAS itu belum lagi mahu menyertai parti serpihan itu.

"Saya masih belum buat keputusan sama ada mahu menyertai AMANAH atau tidak," katanya yang menyifatkan isu beliau dengan PAS seperti perceraian suami isteri yang ada tempoh edah dan masa untuk rujuk semula.

Sebelum dipecat, Husam dilihat sebagai pro-AMANAH dan sering menghentam pemimpin parti terutama Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam ceramah AMANAH di Pasir Panjang di sini malam tadi, Husam turut meminta anggota PAS di Sungai Besar supaya mengundi calon yang berpotensi untuk menang, yang merujuk kepada calon Amanah.

"PAS letak calon bukan untuk menang. Kalah pun mereka tak kisah. Kena sokong AMANAH. Jangan lagi ikut parti tetapi ikutlah agenda nasional (mengambil alih Putrajaya)," katanya.

Husam turut mengeluarkan "fatwa" sendiri apabila menyatakan: "Saya rasa kalau pilih calon AMANAH, dapat paling banyak pahala."

Pada 6 Mei lepas, Jawatankuasa Tatatertib PAS mengesahkan memecat Husam setelah meneliti aduan salah laku terhadap bekas naib presiden parti itu dan mendapati beliau telah melakukan tindakan serta perbuatan yang menyalahi Fasal 82(1)(b), (c),(d),(e) dan (f), Perlembagaan PAS.

Husam sebelum ini dilihat lantang menyerang PAS dan presiden parti terutamanya dalam isu dakwaan kerjasama antara PAS dan UMNO.

SUMBER -- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.