Friday, June 10, 2016

Pembangkang Menggunakan Cara Provokasi Papan Iklan Untuk Raih Undi di Sungai Besar

pilihanraya kini     12:38 PM    



Papan iklan kempen berunsur fitnah dilihat tindakan terdesak pembangkang dalam usaha mereka meraih undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pembangkang mengamalkan politik tidak sihat dengan mengeluarkan pelbagai tuduhan yang tidak berasas dan memainkan sentimen berbaur perkauman.

"BN tidak mengamalkan politik seperti ini kerana kita hanya memberi tumpuan untuk membantu calon dan penduduk," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis tadarus dan berbuka puasa di Masjid Kampung Jeliang, Manong di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Manong Mohamad Kamil Shafie dan anak calon BN Wan Imar Izat Wan Mohammad Khair-il Anuar.

Justeru itu, Khairy berkata beliau telah mengarahkan Pemuda UMNO Perak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai perkara itu supaya mereka mengambil tindakan sewajarnya.

"Kita harap SPR turunkan cepat kain rentang dan papan tanda yang berunsurkan fitnah ini supaya pengundi tidak mempengaruhi tindakan pembangkang ini sehingga menimbulkan kemarahan," katanya.

Khairy turut menasihatkan jentera pemuda agar tidak bertindak balas dan melakukan perkara yang sama.

"Mungkin mereka (pembangkang) mengharap satu tindak balas yang sama walaupun ia boleh dilakukan tetapi itu bukan politik yang diamalkan BN," katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata Pemuda UMNO kini dalam proses menghubungi pengundi muda yang berada di luar kawasan untuk mengenal pasti sama ada mereka pulang mengundi atau tidak.

"Kita juga menjelaskan kepada pengundi muda mengenai isu-isu nasional seperti isu ekonomi, 1MDB (1Malaysia Development Bhd) yang dimainkan oleh pembangkang termasuk menerusi media sosial," katanya.

PRK Parlimen Kuala Kangsar akan diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Bebas.

SUMBER -- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.