Friday, June 17, 2016

Pengundi PRK Sungai Besar Diminta Kekalkan Undi BN - PM

pilihanraya kini     1:45 PM    




Datuk Seri Najib Tun Razak meminta pengundi di kawasan Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, membantu mengekalkan kerusi Barisan Nasional di kedua-kedua kawasan itu, bagi BN meneruskan perkhidmatan cemerlangnya.

Perdana menteri menerusi catatan terbaharunya dalam laman Facebook beliau hari ini, berkata pengundi bagi pilihan raya kecil kedua-dua kawasan itu, diharap tidak terpedaya dengan pembohongan dan permainan politik jahat pembangkang.

"Insya-Allah, hari ini hari terakhir berkempen sebelum penduduk di Kuala Kangsar dan Sungai Besar memainkan peranan penting mencorakkan masa depan kawasan mereka melalui proses demokrasi Pilihan Raya Kecil (PRK) negeri esok.

"Berikanlah peluang kepada Datin Mastura Mohd Yazid dan Budiman Mohd Zohdi untuk meneruskan perkhidmatan cemerlang BN di kawasan anda," katanya.

Kedua-dua PRK diadakan serentak esok berikutan kematian penyandang Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (Kuala Kangsar) dan Tan Sri Noriah Kasnon (Sungai Besar) dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

PRK kerusi Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Mastura (isteri Allahyarham Wan Mohammad Khair-il), Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Naib Ketua Amanah kawasan Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (Amanah) dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK kerusi Parlimen Sungai Besar pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Budiman, calon PAS Dr Abdul Rani Osman yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Meru dan Pengerusi Amanah Sungai Besar Azhar Abdul Shukur.

Kawasan Parlimen Kuala Kangsar mempunyai sebanyak 32,949 pemilih berdaftar, manakala di Sungai Besar terdapat 42,655 pemilih berdaftar.

SUMBER -- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.