Tuesday, June 7, 2016

Pengundi Tertua PRK Sungai Besar 98 Tahun Harap Dapat Mengundi Pada PRK Kali Ini

pilihanraya kini     3:07 PM    




Sekalipun usia sudah menjangkau hampir seabad, Kamisah Naban tetap menaruh azam untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar akan datang.

Kamisah, 98, pernah diserang strok hingga membataskan pergerakannya.

"Nenek sudah tidak mampu bangun sendiri, sudah tak boleh jalan. Kena didukung orang.

"Ada jiran kata tak payah keluar mengundi tapi nenek mahu juga," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Parit 2, Sungai Panjang, di sini hari ini.

Anak jati Sungai Panjang itu berkata sebelum ini beliau tidak pernah melepaskan peluang keluar mengundi, namun kali ini menghadapi kesukaran untuk berjalan sendiri.

Nenek yang mempunyai lebih 30 cucu dan pernah bekerja di bendang itu bagaimanapun berharap ada pihak sudi membawanya ke pusat mengundi 18 Jun ini.

Terdahulu, Kamisah dikunjungi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Kamisah yang tinggal bersama lima cucu amat berbesar hati menerima kunjungan julung kalinya oleh seorang menteri.

Beliau menyatakan syukur kerana masih mendapat perhatian kerajaan.

Dalam kunjungan itu, Subramaniam menasihatkan warga emas itu supaya sentiasa menjaga kesihatan dan menegaskan bahawa kerajaan tidak memandang ringan soal kesihatan rakyat terutama warga emas.

PRK Parlimen Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

PRK itu menyaksikan calon Barisan Nasional yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi ditentang calon PAS yang juga ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman; serta calon Amanah Azhar Abdul Shukur, yang mewakili Pakatan Harapan.

-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.