Friday, June 17, 2016

Sinar Baharu Aidilfitri Buat Zubaidah Di Kuala Kangsar

pilihanraya kini     1:00 PM    


Ramadan kali ini membawa sinar baharu buat Nor Zubaidah Shaari apabila rumahnya yang usang kini dibaik pulih menerusi tanggungjawab sosial korporat Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Nor Zubaidah, 51, berkata rumah yang telah didiaminya sejak lahir itu kini berada dalam keadaan sangat daif apabila atap telah bocor dan dinding kayu reput dimakan anai-anai.

"Saya sangat bersyukur rumah itu dibaiki, sudah lama saya doa agar ada pihak yang sanggup membantu saya dan akhirnya doa itu dimakbulkan. Sebelum ini pelbagai bantuan saya pohon termasuk Baitulmal tapi tak pernah ada yang nak bantu.

Inilah hadiah yang tak terhingga saya dapat untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat bantu saya," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau yang belum berkahwin dan hidup sebatang kara itu berkata bukan niatnya mahu meminta bantuan sesiapa namun kerana pendapatan bulanannya tidak menentu membuatkan impiannya itu sukar untuk dilakukan sendiri.

"Pendapatan saya tidak menentu hasil dari mengambil upah menjahit baju penduduk di sini, kadang ada kadang tiada bukan hari-hari orang nak jahit baju. Sebulan dapatlah RM200 ke RM300 sebulan," katanya.

Sementara itu Pengurus Besar Bahagian Pembahagian TNB Perak Datuk Mohd Zahir Md Nagor berkata sumbangan itu adalah bertujuan membantu golongan asnaf mendiami rumah yang sempurna.

"Hari ini sebanyak 10 buah rumah menerima pendawaian semula yang melibatkan kos sebuah rumah RM2,500 jadi untuk 10 buah kosnya RM25,000.

Selain itu kita juga turut membantu Cik Nor Zubaidah membaiki rumahnya yang melibatkan kos RM15,000 yang dijangka siap sebelum hari raya ini," katanya.

Pada majlis itu Mohd Zahir turut menyerahkan 153 tiang lampu di bawah projek lampu jalan kampung Parlimen Kuala Kangsar kepada Anggota Dewan Undangan Negeri Manong Mohd Kamil Shafie.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.