Friday, June 17, 2016

SPR Meminta Semua Pengundi Turun Awal Untuk Mengundi

pilihanraya kini     1:50 PM    




Semua anggota Barisan Nasional (BN) yang berdaftar di Parlimen Sungai Besar perlu mengundi awal pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen itu Sabtu ini, bagi membantu meningkatkan peratusan yang keluar mengundi.

Selain itu, calon BN Budiman Mohd Zohdi berkata mereka perlu memastikan anggota keluarga dan saudara-mara masing-masing turut menunaikan tanggungjawab itu.

"Faktor ketiga yang boleh membantu meningkatkan peratusan keluar mengundi ialah pengundi yang menetap di luar kawasan.

"Di pihak jentera parti mereka ada mekanisme untuk tarik golongan ini balik mengundi pada Sabtu ini," katanya kepada Bernama selepas menghadiri perjumpaan antara Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dengan golongan nelayan di Bagan Sungai Besar, di sini malam ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK itu menurun kepada 75 peratus berbanding 88.30 peratus pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Wanita BN pula berharap peratusan yang keluar mengundi melebihi 90 peratus berikutan jentera 'tulang belakang' parti itu telah bertungkus-lumus membantu kempen untuk calon BN itu.

Budiman berkata dua perkara boleh membawa kepada peratusan keluar mengundi rendah iaitu motivasi pengundi luar kawasan yang 'berat' untuk balik mengundi memandangkan tempoh PRU akan datang tidak sampai dua tahun serta penilaian bahawa kedudukan kerajaan tidak akan berubah sama ada BN menang atau kalah.

PRK Parlimen Sungai Besar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Budiman, calon PAS Dr Abdul Rani Osman dan calon Parti Amanah Negara Azhar Abdul Shukur.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

SUMBER -- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.