Monday, June 6, 2016

YB. BUDIMAN SOLAT SUNAT TARAWIH DI TEMPAT KELAZIMANNYA

pilihanraya kini     2:07 PM    


Sudah menjadi kelaziman buat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi memulakan solat sunat tarawih di Masjid Nurul Hidayah, Sungai Panjang setiap kali tiba Ramadan.

Masjid itu menjadi pilihannya kerana ia paling jauh dalam kawasan DUN berkenaan dan terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Sungai Besar.

Namun, solat sunat tarawih malam tadi sedikit berbeza buat Budiman apabila beliau menjadi tumpuan lensa kamera jurugambar setelah diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Selesai solat, Budiman menyambung kembali jadual kempennya yang semakin padat selepas tempoh berkempen secara rasmi bermula semalam, dengan melawat dan beramah mesra dengan petugas bilik gerakan BN di pusat daerah mengundi di Binjai Jaya dan Kampung Tok Khalifa.

Ketika ditemui Bernama, Budiman berkata beliau sudah biasa menunaikan solat sunat tarawih bersama jemaah di sekitar DUN Sungai Panjang sepanjang menjadi wakil rakyat sejak tiga tahun lepas.

"Saya rasa bersemangat dan akan meneruskan momentum ini, puasa tidak akan menghalang saya untuk terus berkempen," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan ke lokasi ceramah Parti Amanah Negara (Amanah) mendapati ceramah sulung parti itu, yang julung kali bertanding dalam pilihan raya sebagai sebuah parti baharu, hanya dihadiri kurang daripada 20 orang termasuk penyokong parti.

Ceramah di Jalan Tengah Lembaga Padi Negara di sini, malam tadi antara lain disertai Anggota Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani, Anggota Jawatankuasa Amanah Selangor Mariam Abdul Rashid dan Pengerusi Amanah Sungai Besar merangkap calon Amanah Azhar Abdul Shukur.

Pada ceramah itu, Azhar memulakan kempennya dengan bermesra bersama penduduk tempatan yang hadir selain menyatakan hasrat partinya yang mahu membawa perubahan kepada masyarakat Sungai Besar.

Selain ceramah itu, Amanah turut mengadakan ceramah di Perkampungan Nelayan, di sini dan Pekan Sekinchan, Selangor.

-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.