Tuesday, July 26, 2016

Dakwaan Lompat Pari Mengarut! - Ds Shahir Samad

pilihanraya kini     9:16 AM    




Dakwaan kononnya ada pemimpin tertinggi UMNO dan Barisan Nasional (BN) hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ekoran saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) adalah mengarut dan satu pembohongan.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, jika pembangkang berhasrat memecah-belahkan sokongan kepada Perdana Menteri dengan menggunakan isu lompat parti hasil tindakan DOJ, usaha itu ternyata gagal kerana pemimpin BN kekal bersatu.

“Bagi saya dan rakan-rakan yang lain, kita mengikuti setiap perkembangan dan kita sentiasa mendapatkan penjelasan serta penerangan daripada pihak berkaitan dalam kerajaan mengenai keadaan apa yang sedang berlaku ketika ini.

“Saya tidak nampak satu ke­adaan di mana adanya reaksi yang panik dalam kalangan Ahli Parlimen dan pemimpin parti UMNO atau ketua pemimpin parti komponen BN,” katanya ketika ditemui pemberita sebagai mengulas laporan South China Morning Post di sini hari ini.

Portal itu dalam laporannya mendakwa, beberapa pemimpin kanan UMNO dan BN dikatakan akan menyertai gerakan Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas mula hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri berikutan saman sivil DOJ ke atas 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB).

Mengulas lanjut, Shahir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, laporan oleh portal ber­kenaan adalah rekaan semata-mata kerana jika timbul isu sekalipun, pendekatan pemimpin BN adalah mendapatkan penjelasan secara berhemah melalui saluran parti dan kerajaan.

“Inilah masalahnya, pihak pembangkang cepat sangat dia ambil (terima) cerita, tambah lagi kalau orang putih cakap, kalau orang asing cakap macam AS cakap, dia (pembangkang) punya sikap cepat melenting dan cepat percaya kerana datangnya dari asing.

“Saya sebagai Ahli Parlimen dan rakan yang lain tidak melenting apabila pihak asing menyatakan pendirian, pendapat, pandangan atau perhatian kerana saya rasa cerita itu belum lagi kukuh,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Shahrir memberitahu, BNBBC akan mengaturkan pertemuan tertutup di antara Perdana Menteri dengan pemimpin UMNO dan berharap rakyat negara ini jangan mudah terpedaya dengan laporan pihak asing yang tidak sahih serta diragui ketepatannya.

Sementara itu, Ketua Pene­rangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa juga menafikan terdapatnya tindak-tanduk pemimpin UMNO dan BN yang kononnya sudah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri.

“Tidak pernah dengar,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi melalui aplikasi Whatsapp.

Utusan


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.