Sunday, March 11, 2018

KRISIS AIR SELANGOR : AIR BEKALAN MASIH TIDAK MENCUKUPI

pilihanraya kini     4:30 PM    




Derita penduduk Pangsapuri Kos Rendah Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri Cheras yang kini berhadapan masalah gangguan air, semakin parah apabila bekalan air daripada lori tangki amat terhad.
Menurut penduduk, hanya sebuah lori tangki air menghantar bekalan semalam untuk dikongsi bersama empat blok perumahan yang menempatkan kira-kira 2,700 unit rumah.
Akibatnya penduduk terpaksa berbaris panjang di bawah panas terik untuk menadah air di paip bomba berdekatan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Penara, Ahmad Selamat, 52, berkata, pihak bertanggungjawab perlu menyelesaikan kemelut ini secepat mungkin kerana ianya menyusahkan penduduk terutamanya yang tinggal di rumah pangsa.
Tambahnya, jadual penghantaran yang tidak konsisten menyebabkan ramai penduduk bersungut kerana terpaksa menunggu lama sehingga menjejaskan rutin harian mereka yang bekerja serta menghantar anak ke sekolah.
“Saya cukup simpati dengan mereka terutamanya golongan emas dan kaum ibu yang terpaksa berulang-alik menadah air. Bayangkan mereka yang tinggal di tingkat 17, bukan mudah untuk berulang alik sejauh itu. Lif yang ada di setiap blok juga amat terhad, jadi memang cukup menyulitkan,” katanya.
Perkara sama turut dikongsi oleh seorang penduduk dikenali Melati, 45, yang mahu krisis air ditangani segera.
Menurutnya, setiap hari hanya sebuah lori membawa bekalan air sedangkan di situ terdapat empat blok yang setiap satunya ada 680 buah rumah.
“Jadi mana mungkin ianya mencukupi, terutamanya bagi yang berkeluarga ramai,” katanya.
Seorang pekerja swasta, Muhaimi, 31, turut menyatakan rasa tidak puas hati kerana bekalan air yang dihantar tidak dapat menampung keperluan penduduk di situ.
Beliau yang berkerja pada syif petang terpaksa mengorbankan waktu paginya menadah air.
“Biasanya saya terpaksa berulang alik dua atau tiga kali untuk cukupkan bekalan di rumah. Sudahlah terpaksa berbaris panjang di bawah panas terik, waktu rehat juga terpaksa dikorbankan.
“Sejak tak ada air saya terpaksa bangun awal pagi untuk tunggu lori atau berbaris tadah air di paip bomba ni. Kalau lambat memang saya kena tunggu lebih lama,” katatanya

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.